#TRAVELOG ke Hatyai, Thailand | Perjalanan

8:00 AM

Assalamualaikum dan Hi semua!

Pada 19 hingga 21 Oktober baru ni, aku dan temanku melancong ke Hatyai. Disebabkan aku ni jarang sekali dapat ke luar negara jadi bila pergi ni memang rasa seronok dan menikmati setiap saat yang ada. Sebenarnya, percutian ini tidak dirancang sangat pun. Masa tu macam main sebut je kat kawan yang nak pergi bercuti, lalu seorang setuju. Kemudian tu baru ajak yang lain dan Alhamdulillah semua setuju. Bincang punya bincang, akhirnya menjadi juga percutian kami ke sana. (Itupun banyak drama sepanjang perjalanan)


Kami pergi tak lama pun. Dalam 3 hari 2 malam. Itupun rasanya dah mencukupi bagi kami. (Padahal masing-masing kerja, tak dapat mohon cuti banyak). Oleh sebab tempoh masa yang singkat, kami acah-acah nak cuba jadikan percutian ini sebagai percutian bajet dimana perbelanjaan tidak melebihi RM500. Ewaahh ewaaahh.. Harapnya boleh lah. Takut terbeli belah melebihi had pula.


Naik Bas ke Hatyai dari TBS

Sebenarnya, menaiki bas ke Hatyai ini adalah pilihan terakhir kami. Awalnya nak terbang ke sana tapi harga tiket macam berdendam je dengan kami jadi batalkan yang itu. Pilihan kedua pula sepatutnya pergi ke sana naik ETS tapi TAPI memasing lambat dan ada hal, jadi membazir macam tu je tiket hingga akhirnya terpaksa naik bas. Serius, itu memang last minute beli tiket semasa perjalanan dari KL Sentral ke TBS. Beli secara online untuk jimat masa.

Tentang bagaimana terlepas tu, memang betul-betul drama pagi hari. Aku dah siap awal. Bergerak naik KTM dari tempat aku pun dalam 6.15 sebab pukul 6 tak ada. Tapi disebabkan keretapi tu lambat gila bergerak, aku akhirnya sampai kat KL Sentral dalam pukul 7.03 dan terlepas ETS pukul 7 pagi tu. Yang seorang lagi tu, naik pakcik Grab tapi pakcik Grab tu boleh pula sesat. Seorang lagi, memang sehari sebelum dah tukar ke tiket bas sebab ada masalah dalam permohonan cutinya. Tinggal seorang kawan aku yang dah sampai awal dan tunggu kami. Dia taknak naik ETS sorang-sorang lalu semuanya terus berkejaran naik bas. Nasib baik sempat juga naik bas sebab masa tu memang panggilan akhir.

Kami beli tiket bas di laman web berikut https://www.busonlineticket.com/ . Mudah betul sebab kita boleh pilih bas mana, pukul berapa dan tarikh bila di situ. Tempat duduk juga boleh pilih dengan senang dengan kaedah pembayaran yang pelbagai. Bolehlaa terjah ke situ jika nak beli tiket bas.

Jika ingin beli bas ke Hatyai, kalian kena pastikan tiket kalian tu betul. Maksudnya bas tu berhenti di tempat yang betul. Ada bas betul-betul berhenti di bandar Hatyai, dan ada yang berhenti di Danok. Jadi kena pastikan, kalian nak turun di Hatyai atau di Danok. Dan untuk tempat turun di bandar Hatyai, bas tu akan berhenti di stesen bas tersebut bukan di terminal bas. Jangan mamai pula nanti bila dah turun tu. Harga tiket bas ke Hatyai pula dalam RM65 ke RM80 macam tu. Alternatif paling murah berbanding ETS dan kapal terbang.

Bas Suasana Edaran ke Hatyai

Kami memilih bas Suasana Edaran sebagai pilihan bas kami untuk ke Hatyai (lebih tepat aku yang pilih). Sebabkan aku dah beli tiket bas ni ke kawan aku yang seorang tu, jadi aku memutuskan naik bas sama jelah biar kami berempat tidak terpisah sepanjang perjalanan. Bas Suasana Edaran bagi aku memuaskan juga kerana pihak bas menyediakan selimut, plug untuk cas, televisyen, wifi percuma dan juga air mineral untuk setiap penumpang bas. Bas satu tingkat je dengan posisi kerusi single bersebelahan dengan 2 kerusi pasangan. Selesa kerana kerusinya besar dan kita tidak terasa sempit atau terhimpit dengan orang sebelah.


Semua dah nampak sempurna cuma satu je, bila naik bas ni kita kena hadap dan tabah menghadapi jarak perjalanannya yang jarak. Aku kira lagi jauh dari jarak KL ke Kelantan. Masa aku pergi baru ni, dalam 10 jam perjalanan. Bertolak pada pukul 8 pagi (waktu Malaysia) sampai pukul 5 petang (waktu Thailand), kiranya dalam pukul 6 waktu Malaysia. Bas tu berhenti lama hanya dua kali, satu untuk isi minyak, satu lagi untuk makan. Jadi kalau nak ke tandas atau makan, sebaiknya pergi waktu itu. Ingat no plat bas, pakcik bas dan jenis bas. Takut kang tertukar atau tertinggal bas pula.

Kita juga akan diberikan pas masuk semasa atas bas sebelum sampai ke sempadan. Kemudian, kita akan diminta untuk turun dari bas di sempadan Malaysia untuk urusan Imigresen dan di Danok, sempadan Thailand, juga untuk urusan Imigresen. Di Imigresen Danok, agak panjang barisannya dan lama sikit sebab ramai orang. Lepas itu, dari Danok, bas akan terus ke bandar Hatyai dan memakan masa dalam 1jam setengah perjalanan. Tapi bagi yang turun di Danok, mereka akan berhenti di situ dan tak perlu lagi naik bas.

Sampai Hatyai, bas Suasana Edarana akan berhenti di pusatnya yang mana aku kira berhampiran dengan Lee Garden Plaza. Nasib baik ada perkhidmatan tuktuk di situ, jadi kami naiknya untuk ke hotel kami. Tidaklah jauh sangat dari tempat bas tu. Kalau kalian belum beli lagi tiket balik dan teringin untuk naik bas yang sama, boleh masuk ke pejabatnya untuk urusan beli. Sekiranya nak balik dengan alternatif lain, langsung terus ke hotel tanpa masuk dalam.

Hotel V-Ocean Palace

Depan Hotel V-Ocean Palace

Penginapan ambil masa yang lama untuk diputuskan sebab kami perlu pilih penginapan yang murah atau menepati bajet kami dan dalam masa yang sama cantik mata memandang, dekat dengan bandar, ada kemudahan pengangkutan, dan juga beberapa yang lain. Cari punya cari, akhirnya jumpa juga yang menepati kebanyakkan kriteria kami. Hotel V-Ocean Palace menjadi pilihan penginapan kami kerana memiliki satu bilik besar, muat untuk kami berempat dan tandas berada di dalam. Ini bagi aku antara elemen penting juga kerana tandas merupakan satu hal privasi bagi aku. Aku amat tidak selesa berkongsi tandas dengan 'stranger'. Kawasan di sekitar hotel agak meriah di waktu malam di mana kita tidak merasa seram untuk berjalan malam, dengan adanya 7-Eleven terletak berdekatan, memudahkan lagi kami mencari makan. Di situ aku rasa memang aktif di malam hari kerana di pagi hari, kedai kebanyakkan masih lagi tidak buka. Restoran banyak cuma yang halal kurang, kena berjalan jauh sikit.

Permandangan daripada bilik hotel kami

Kalau nak senang, sila bawa siap-siap salinan passport kalian untuk diserahkan kepada pihak Hotel. Ini memang wajib. Lepas tu, pihak Hotel juga akan meminta deposit RM50 daripada kami dan duit itu akan dipulangkan selepas kami check out. Sekiranya kalian tempah melalui Agoda (macam aku), aku sarankan kalian bayar terus harga hotel kerana kalau bayar lambat, harga akan dicas ikut matawang talian, jadi mungkin akan bertambah sikit kerana kita akan bayar ikut kadar semasa. Kalau masa tu mahal, mahallah, kalau murah gak bernasib baik. Contoh macam aku, harga booking RM274 tapi bila hold dia convert jadi THB2,219.63. Kira masa hari bayar itu jadi naik hingga RM296.58. Itu harga bilik untuk 4 orang.

Naik keretapi pulang ke Kuala Lumpur

Untuk perjalanan pulang, kami tidak lari daripada perancangan kami. Masih menaiki pengangkutan awam tapi kali ini kami menggunakan perkhidmatan keretapi tempatan. Dari Hatyai, kami ke stesyen keretapi Hatyai dan membeli tiket awal sehari dari hari berlepas. Sebenarnya boleh saja beli tiket pada hari berlepas tapi kena beli awal kerana dibimbangi tiket akan habis awal. Kami pula nak shopping lagi hari terakhir tu dan alang-alang dah dekat di situ, beli saja awal. Kaunter untuk tiket awal lain daripada tiket semasa. Kita kena memasuki bilik untuk pembelian awal dan ambil nombor giliran. Harganya masih sama, dalam THB50. Waktu pula dalam pukul 2 petang (waktu Thailand). Kalau beli pada hari yang sama, kita hanya beratur di kaunter luar dan terus saja masuk dalam. Pastikan menaiki keretapi yang betul ya buat mereka yang pertama kali.

Suasana di Kaunter Tiket Awal
Keretapi klasik dari Hatyai ke Padang Besar

Aku sangat menyukai keretapi dari Hatyai ini kerana ia masih mengekalkan keadaan keretapinya dari dulu. Menggunakan konsep 'open air', kita akan terasa seperti menaiki keretapi lama dan menikmati perjalanannya. Agak panas masa awalnya kerana kipas kecil di dalam tidak berfungsi tapi bila dah bergerak tu langsung nyaman dek angin yang bertiup laju. Kalau menginginkan keselesaan maka ini bukanlah pilihan yang tepat, tapi kalau nak rasa sebuah pengembaraan, maka ini yang seharusnya kalian cuba. Tak rugi pun sebab perjalanannya cuma mengambil masa 55 minit saja.

Kemudian, dari Padang Besar, kami menaiki ETS langsung ke KL Sentral. Di stesyen Padang Besar itu agak sesak sikit sebab ramai orang lepas tu kena beratur panjang pula untuk urusan imigresen. Harga tiket ETS ni mahal kerana waktu kami nak beli dah habis yang murah, dan nak tak nak terpaksa juga beli yang mahal iaitu RM102. Kalau yang murah dalam RM76 saja. Jadi rancang baik-baik tau perjalanan kalian. Tiket tu, beli awal-awal kalau dah confirm.

Makan di dalam ETS

Sekian dulu post aku tentang perjalanan ke Hatyai. InshaAllah aku akan menyambung menulisnya untuk hari-hari aku disana dan tempat yang aku pergi.

You Might Also Like

0 comments

Thanks kerana sudi meluangkan masa membaca blog ini.
Sebarang kata-kata boleh lontarkan di ruangan ini.
Moga-moga kita bisa berbalas komen

GoodReads

2020 Reading Challenge

2020 Reading Challenge
Najah has read 5 books toward her goal of 50 books.
hide

Broaden News