Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Tandatangani MoU dengan USM
9:07 PMAssalamualaikum dan hi semua!
MoU bakal menyaksikan pembinaan Rumah Ronald McDonald kedua di Malaysia dalam kawasan Hospital USM di Kelantan
Rumah Ronald McDonald yang pertama telah dibina pada tahun 1999 di dalam kawasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur. Dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Rumah Ronald McDonald di PPUKM merupakan yang pertama di Asia dan telah menjadi rumah persinggahan untuk lebih 850 keluarga pesakit pediatrik sehingga kini.
Apabila siap dibina pada awal tahun 2019 kelak, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM akan menjadi tempat tinggal sementara untuk keluarga kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital. Rumah ini bakal mempunyai 18 bilik yang boleh menempatkan antara 4 hingga 6 katil setiap bilik. Setiap bilik turut dilengkapi dengan bilik air sendiri.
Selain bilik keluarga, Rumah Ronald McDonald yang baharu ini juga bakal menawarkan kemudahan seperti ruang makan, ruang TV dan istirahat, dapur, bilik mesin basuh dan juga taman permainan. Selain itu, Rumah ini turut menyediakan Bilik Sensori Ronald McDonald yang membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan bantuan peralatan multi-deria khas.
“MoU pada hari ini dengan USM merupakan satu lagi detik bersejarah bagi RMHC Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan pembinaan Rumah Ronald McDonald kedua di Malaysia dapat direalisasikan. Ia dijangkakan bersedia mengalu-alukan kehadiran keluarga pesakit pediatrik pada awal tahun hadapan. Kami komited untuk menyediakan kemudahan yang selesa dan berpatutan demi memastikan keluarga dapat berada dekat dengan anak-anak mereka,” kata Azmir Jaafar, Presiden RMHC.
“Kami amat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh Hospital USM dan kami percaya kemudahan ini dapat memberi banyak manfaat kepada keluarga dan anak-anak mereka yang sedang mendapatkan rawatan di hospital ini,” tambah Azmir yang juga merupakan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
Melalui MoU ini, Hospital USM akan menyediakan satu ekar tanah di dalam kawasan hospital untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald manakala RMHC pula akan membina rumah ini yang siap dengan kelengkapan dan perkakasan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM4 juta. Perbelanjaan mentadbir dan operasi akan ditanggung bersama oleh kedua-dua belah pihak.
Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM berkata, “USM menyambut baik kerjasama strategik bersama RMHC, sebuah badan kebajikan berdaftar dengan objektif membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dari aspek pendidikan, kesihatan dan juga sosial.”
Upacara Pecah Tanah di tapak pembinaan Rumah Ronald McDonald. |
Pembinaan Rumah Ronald McDonald akan membantu memenuhi keperluan masyarakat, khususnya mereka dari kategori B40 yang merupakan 80% pesakit yang mendapat rawatan di Hospital USM. Sebagai contoh, dalam tempoh enam bulan pertama (Januari hingga Jun 2018), Hospital USM menerima sejumlah 3,015 pesakit di wad pediatrik, yang datang dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kerjasama ini secara tidak langsung mampu melonjakkan lagi persepsi positif masyarakat khususnya keluarga pesakit, serta pihak-pihak yang berkepentingan dengan USM. Selain daripada itu, ianya turut memperkukuhkan jenama USM amnya dan Hospital USM khasnya sebagai hospital pakar serta menjadi rujukan dalam pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan di Pantai Timur selain membuka pelbagai pintu kerjasama yang lebih luas dan strategik bagi kedua-dua belah pihak. Hal ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan untuk menjadikan USM sebagai Universiti Pilihan.
“Kami kini dalam usaha kearah mewujudkan kerjasama menerusi sokongan dana kewangan bagi projek perubatan komuniti seperti pembedahan sumbing bibir dan lelangit selain peluang kerjasama sokongan dana bagi projek penyelidikan berkaitan kanak-kanak yang boleh diterokai bagi memberikan peluang dan kehidupan yang lebih selesa kepada pesakit kanak-kanak di seluruh negara. Ini adalahseiring dengan visi USM ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’,” kata Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM.
Semasa majlis menandatangani MoU ini, USM telah diwakili oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, manakala RMHC diwakili oleh Azmir Jaafar.
Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Mulia Tengku Tan Sri Dr Mahaleel Tengku Ariff, Ahli Lembaga Gabenor USM dan Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Abdul Rahman, yang mewakili Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah Kampus Kesihatan USM dan Hospital USM.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald yang baharu ini boleh berbuat demikian menerusi tabung yang terdapat di restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut dan lain-lain cara untuk membuat sumbangan,
sila layari https://rmhc-malaysia.my.
2 comments
semoga makin banyak event dan kerjasama yang macam ni =D
ReplyDeleteUsaha yang bagus dari Ronald McDonald’s
ReplyDeleteThanks kerana sudi meluangkan masa membaca blog ini.
Sebarang kata-kata boleh lontarkan di ruangan ini.
Moga-moga kita bisa berbalas komen