#TRAVELOG ke Padang Indonesia Part 2 : Makanan
8:30 PMAssalamualaikum,
[AMARAN! POST KALI INI AGAK PANJANG]
Aku kembali lagi. Buahhahhahahaha. Erk. Kali ni dengan tajuk entry yang lebih sama dengan sebelum ni, aku bawakan kepada korang ke sudut makanan sepanjang aku berada di Padang, Indonesia. Di sana terbahagi kepada dua tempat tarikan pelancongan iaitu satunya di Bukit Tinggi dan Padang sendiri. Kat Bukit Tinggi ni temanya alam sekitar dimana suhunya agak sejuk kerana dikelilingi gunung ganang banjaran manakala di Padang pula suhu sedikit panas dan konsep pelancongannya lebih bertemakan pantai pulau dan air. Makanan di antara keduanya lebih kurang sama cuma di Padang lebih moden dengan adanya Pasaraya (baca: Mall), kedai kopi hipster dan lebih mahal daripada Bukit Tinggi.
Hari Pertama
Pada hari pertama kami sampai di Lapangan Terbang Minangkabau Padang, kami dibawa makan oleh supir ke kedai makan berdekatan. Kedai tu makanan utama yang disajikan ialah soto tapi ada juga dihidangkan makanan yang lain. Kami semua pun pilih untuk makan soto saja sebab masa tu sudah lapar. Aku kongsi dengan kawan aku. Bimbang juga kalau tak habis atau tak kena dengan selera. Boleh jatuh membazir.
Soto Airport |
Rasa soto tu bagi aku tak ada la sedap sangat. Biasa je tapi tak ada lah sampai tak sedap. Macam rasa sup biasa. Kalau dari segi pembahagian bintang, bolehlah aku bagi 5 daripada 10 bintang. Harga untuk soto ni dalam IDR10,000.
Kuih Bika |
Kemudiannya kami ke Bika Talago. Ya Ampun, sedap weh! Rasanya lain daripada yang lain (Mungkin aku tak pernah cuba rasa begitu) tapi lazat. Aku tak pasti ada berapa jenis tapi kami cuba dua jenis perisa. Satu perisa kelapa dan satu lagi perisa pisang. Bagi aku keduanya sedap dan aku siap order lebih untuk bawa balik makan kat bilik lagi. Kuih bika ni harganya dalam IDR3,000 satu. 8 daripada 10 bintang aku bagi untuk kuih yang enak ni.
Masuk petang, dengan perut bunyi nasyid kami pun bagi tahu supir tu yang kami lapar. Dia tanya mau makan apa? Boleh pula si supir tu tanya soalan maut. Kat uni pun aku tak boleh jawab soalan ni, apatah lagi kat tempat orang. Semua diam. Yelah, tak tahu nak jawab apa sebab kami sebenarnya nak cuba makan makanan tradisi kat sana tapi tak tahu apa. Bila nampak kami macam diam teragak-agak, dia pun bagilah beberapa pilihan makanan seperti nasi padang, ayam penyet dan sebagainya. Kebetulan pula masa tu, kami melepasi satu gerai yang ala Wong Solo, jadi kami pun pilih nak cuba makan ayam penyet.
Ayam Penyet |
Untuk rasa ayam penyet ni, jauh rasanya beza dengan yang Malaysia punya. Mungkin aku tersalah kedai atau memang rasa ayam penyet nya gitu, tapi bagi aku, rasa di Malaysia lagi sedap. Kedai yang supir aku bawa tu meragukan betul kelazatan makanannya kerana tak ramai orang. Bukan setakat tak ramai tapi sunyi tanpa orang. Dahla kedai yang sebelum tu (kedai sebelah dia), lauk pauknya dikerumun semut. Uewwww. Memang taklah nak makan kat situ walaupun dikatakan sedap. Kedai yang tu pun, masa kami semua sampai kosong juga. Tiada orang. Ayam penyet ni aku kongsi juga dengan kawan aku. Harga satu dalam IDR20,000. 4/10 bintang.
Gorengan Jalanan |
Di malam hari, kami hanya makan makanan jalanan. Mula-mula singgah gerai gorengan. Pelbagai jenis gorengan yang ada. Maaf sebab aku tak ingat jenis-jenisnya.Harga satu gorengan IDR1,000 sahaja. Aku dah berpakat dengan kawan sebilik hotel aku. Jadi kami beli semua jenis gorengan yang ada untuk dirasai. Setiap satunya rasa unik dan tak ada teruk sangat. Sedap juga dan aku kasi 7 per 10 bintang untuk ni.
Gerai Roti Bakar |
Selepas tu, kami singgah pula ke gerai roti bakar. Gerai nie ada pelbagai jenis roti bakar. Yang nie pun aku share karna nampak besar saiznya. Kami pilih perasa keju tambah keju. Masa ni memang dah tak tahu nak cuba yang mana sebab banyak sangat yang best dan sedap. Harga satu roti bakar IDR19,000. Rasanya sedap gile walaupun kami makan keesokkan harinya dan roti bakar tu dah sejuk. Kalau panas tentu lagi sedap. 8 daripada 10 bintang aku bagi untuk rasa yang sedap ini. Wahahaha.
Hari Kedua
Nasi Padang |
Di hari kedua, selepas berjalan menikmati permandangan di Danau Maninjau, kami berhenti makan di sebuah restoran yang aku tak tahu pun terletak kat mana. Kedai tu sunyi dari pelanggan. Tapi memandangkan kami dah lapar yang teramat ketika itu, kami masuk je makan. Kami makan nasi padang kat restoran tu. Nasi padang ni jenis yang dia hidang lauk banyak-banyak kat meja kita. Kita akan dicas berdasarkan berapa lauk yang kita ambik. Kitorang tak ambik banyak pun, hanya ambik mana yang berkenan je. Rasa dia biasa je. Tiadalah sampai ke tahap mengidam. (Aku mengidam roti bakar). Harga satu pinggan lauk aku tak pasti berapa, kerana aku kongsi bertiga jadi aku bayar dalam IDR24,000. 6/10 bintang.
Roti Bakar Mini Imut-Imut |
Siap makan, kami berjalan-jalan di pasar. Dek kerana letih berjalan dan perut sudah berkeroncong, kami beli roti bakar di tengah-tengah pasar. Tu pun nasib baik ternampak pakcik tu, kalau tak boleh jadi kami akan jadi zombie sebab lapar yang teramat. Murah gile harga satu roti bakar tu, dalam IDR2,000 satu. Saiz pula lebih kecil dari yang semalam. Rasa pun sedap dan berbaloi beli. Aku beli perisa kaya. 8/10 bintang.
Tak tahu nama apa |
Sementara menunggu supir datang ambil kami, ada seorang makcik jual satu snack nie tapi aku tak pasti nama apa. Ramai juga yang makan snack ni ketika itu. Rasanya ada kari-kari sikit dengan so'un di atasnya. Sedap lah juga rasanya walaupun aku tak berapa gemar kari. 8/10 bintang aku kasi untuk sesuatu yang baru aku rasa dengan rasa yang enak. Owh, lupa. Harga untuk satu snack ni adalah IDR5,000. Kami kongsi berlima.
Murtabak Mesir Sedap |
Di malam hari, kami berjalan di sekitar hotel untuk mencuba makanan jalanan(baca:street foods) kat sana. Mungkin sebab restoran yang kami pergi kurang sedap menyebabkan kami tidak mahu makan di restoran. Berjalan dalam 15 minit dari hotel, kami jumpa beberapa gerai yang menjual makanan jalanan. Aku macam biasalah, ada setengah makanan tu aku kongsi sebab takut tak habis atau takut tak kena dengan lidah. Makanan jalanan kat sana murah dan lagi sedap. Tidak mengecewakan kami malah rasa berbaloi beli. Perut senang hati riang. Ewaah.. Kami beli murtabak mesir kat sana. Murtabak mesir tu sama macam murtabak daging kita kat sini. Tapi kalau murtabak biasa dia ialah apam balik kita. Harga murtabak tu IDR19,000. 9/10 bintang.
Kedai Bakso Gorengan |
Kemudian aku beli bakso ayam. Aku ingat bakso ayam tu macam yang berkuah tu, rupanya ada dua jenis bakso. Satu yang berkuah dan satu yang jenis gorengan. Aku cubalah yang bakso ayam ni memandangkan harganya IDR1,000 satu cucuk. Boleh tahan rasanya. 8/10 bintang.
Hari Ketiga
Bakso Pasar Atas |
Makanan hari ketiga kami dimulakan dengan bakso di pasar atas. Akhirnya mencuba juga bakso berkuah kami di sana. Rasanya sungguh sedap. Rasa sebelum ditambah kicap dan sambal yang lain, seperti kuah sup ala bakso biasa. Tetapi selepas ditambah kicap dan sambal, makin menjadi-jadi kelazatannya. Ada dua jenis sambal, yang warna merah dan hijau. Saranan aku, masukkan yang warna hijau sahaja sebab sambal hijau lagi sedap daripada merah. Yang pasti keduanya sedap. Dihirup habis kuahnya. Sedap hingga licin mangkuk. Kawan aku tu ada yang minta kuah daripada kawan aku yang lain sebab sedap. Harga satu mangkuk bakso ialah IDR10,000. 10/10 bintang aku kasi. Kat situ dia tulis bakso mie ayam.
Satay Minang |
Es Tebak |
Selepas makan bakso tu, kami mencari-cari gerai yang dicadangkan oleh kawan kami. Dia suruh cuba makan es tebak. Es tebak ni macam ais batu campur kita. Lebih kurang sama je cuma es tebak disana tiada jagung dan ada pertambahan bahan yang lain. Harga es tebak ni dalam IDR10,000. Nasib baik aku kongsi juga sebab aku kurang gemar sikit es tebak, dek ABC pun aku tak makan sangat. Selain tu, kedai ni ada juga jual satay minang. Harga IDR3,000 satu cucuk. Mula-mula aku ingat tak sedap tapi okayla juga. Kena dengan selera aku. Kalau dipilih ayam penyet sebelum ni dengan satay ni mungkin aku lebih pilih satay kot. Rasa satay tu tidaklah seperti rasa satay malaysia. Bintang yang aku kasi untuk kedua makanan ni ialah 8 daripada 10 bintang.
Kopi daun kopi dan pisang salai enak |
Kopi serbuk sama sisa kopi murbei |
Sampai ke bahagian yang aku paling suka, iaitu KOPI. Yes, akhirnya merasa juga aku kopi di sana. Ini bukan kedai kopi hispter ya tapi kedai kopi biasa yang penuh dengan keajaiban. Nama kedai ni Kiniko. Menjual kopi yang sememangnya bijih dari tanah asal Padang. Masuk je kedai, kita boleh merasa kopi dengan percuma dan boleh diisi semula tanpa bayaran. Minum secangkir kopi dengan bertemankan pemandangan yang mempersona begitu mengasyikkan dan menenangkan jiwa. Lagi-lagi time aku pergi tu hujan. Fuhhh... Terasa nyaman. Lebih nyaman andai aku bisa bersantai di situ sambil membaca buku. Satu lagi yang menarik kat situ, kita boleh ancuh sendiri kopi. Nak tambah gula banyak mana, kopi banyak mana, semuanya atas kita. Aku cuba 3 jenis kopi (sebab saat itu ada 3 jenis je) dimana kopi daun kopi, kopi murbei (mulberry leaf) dan kopi serbuk. Bagi yang nak beli kopi pun boleh. Murah je kopi yang dijual di sana. Ada pelbagai jenis kopi yang dijual dengan pelbagai khasiat. Oh ya, lupa nak bagitau, pisang salai di sana sungguh lazat dan memang menjadi pilihan nombor satu aku sepanjang di sana. Sumpah sedap gila pisang salai dia. Aku sarankan korang untuk beli banyak-banyak pisang salai. Untuk keduanya, pisang dan kopi aku bagi 15 per 10 bintang.
Kopi daun kopi rasa macam teh sikit. Tak pekat rasanya dan orang yang tak minum kopi pun boleh minum. Kopi murbei pula rasa pekat sedikit daripada daun kopi cuma bagi aku masih tidak pekat. Yang pasti rasanya berbeda antara kedua tu. Tapi untuk kopi serbuk yang aku minum, rasanya pekat dan nyaman. Sejujurnya sempurna kepahitannya. Huhuhu. Kopi daun dengan murbei sesuai diminum menggunakan tempurung tu dan dikacau dengan kayu manis. Baru lebih menyerlah rasa kopinya.
Murtabak Mesir |
Malamnya, kami hanya singgah di pasar malam kat Padang Panjang. Beli murtabak mesir kat situ. Sayangnya, kami lebih suka rasa murtabak mesir di Bukit Tinggi lagi, yang berhampiran hotel kami. Yang nie, lebih banyak sayur kucai dan kurang sedap sikit. Harga satu murtabak IDR18,000. Bintang yang aku boleh bagi dalam 6 daripada 10.
Bakso tepi Bioskop |
Kemudian, supir bawa kami makan bakso yang terkenal di Padang Panjang. Gerai bakso ni ala-ala Nasi Lemak Bumbung. Beroperasi di kaki lima bangunan yang dahulunya pernah menjadi bioskop. Nasib baik rasa bakso ni sedap. Kali ni, aku hanya masukkan sambal hijau sahaja tanpa sambal merah dan ternyata sedap. Rasa yang sempurna sebagai bakso. 9 per 10 bintang untuk semangkuk bakso yang lazat. Harganya dalam IDR13,00 semangkuk. Berbaloi walaupun mahal sikit daripada yang kat pasar atas tu. Cumanya keadaan kedai tu kotor sikit sebab orang sentiasa berpusu-pusu makan di situ dan pemiliknya tidak sempat membersihkan.
Hari Keempat
Cendol |
Pada hari keempat, tak banyak pun kami makan sebab kami dalam perjalanan menuju ke padang. Jarak perjalanan dari situ adalah dalam 3 jam. Sampai je bandar Padang, supir bawa kami mencuba cendol. Cendol kat situ banyak letak gula melaka so rasa manis dengan gula melaka. Bagi aku, aku lebih pilih cendol malaysia lagi tapi aku juga kurang gemar makan cendol. Hahahahha. (Patut cuba cendol durian dekat Bukit Tinggi) Harga cendol ni aku tak tahu sebab supir tu belanja kami. Bintang untuk cendol ialah 7/10 bintang.
Ikan Bakar Secincin |
Sebelum makan cendol, kami ada singgah di Secincin. Dekat Secincin tu terkenal dengan ikan bakar. Kami pun singgahlah kedai yang juga dicadangkan oleh rakan kami tu. Ternyata sedap lagi ikan bakar Malaysia. Wahahahahah. Ops. Kat sana pun dihidangkan ala-ala nasi padang tapi setiap mangkuk lauk tu berbeza harga. Cuma untuk ikan bakar, kami perlu pilih ikan mana kat tempat dia. Masa kat sana, hanya kami pelancong Malaysia, yang lain nampak seperti dari Jakarta, Surabaya, Yogja dan sewaktu dengannya. Aku kongsi juga dengan kawan dan aku bayar dalam IDR18,000 untuk nasi, ikan bakar dan sambal balado. Bolehlah dapat 6 daripada 10 bintang.
Jagung Bakar Tepi Pantai |
Setelah melepaskan lelah di hotel sebentar, kami teruskan perjalanan melihat pantai Padang. Malang nasib kami apabila sampai je sana, hujan mula turun ibarat tiada belas kasihan buat kami. Tak dapat nak beracah shoot Goblin. Hahahahaha. Erk. Aku ada cuba jagung bakar kat tepi pantai tu. Cuba yang kawan aku jelah sebab aku macam tiada mood nak makan ketika tu. Sedap juga jagung bakar dia. Rasa lebih kurang sama cuma pedas sebab dia sapu sos merah ke atas jagung tu. Harga jagung IDR7,000 kalau tidak silap aku. Nikmat tengok kawan aku makan jagung panas di hari hujan. 8 per 10 bintang.
Untuk tidak membazir masa kami gara-gara hujan, (Melepas nak lepak dan tengok matahari terbenam di pantai) kami semua pun berpakat untuk habiskan masa di Mall Padang sahaja. Kononnya nak tengok-tengok mall di sana macam mana. Sebelum ni, aku ada dengar yang KFC berbeza menunya berdasarkan negara dan memang berbeza pun. Di Indonesia, setiap menunya pasti ada nasi. Dia tak ada snack plate, dinner plate macam kita, dan satu lagi perisa yang ada hanyalah Original dan Crispy. Aku hanya cuba dua ketul ayam yang crispy. Kerangupannya memang sedap dengan sedikit rasa pedas tapi masih tidak dapat menandingi Spicy di Malaysia. Kami juga ada lepak di Mokka Coffee yang mana lebih kurang sama konsepnya dengan Big Apple. Setelah itu, kami masuk pasaraya dia sebab malas nak singgah toko dan memborong barang runcit di sana seperti minuman yang tidak terdapat di Malaysia.
Sekian saja perkongsian daripada saya. Maaf juga sebab saya tak pandai sangat nak ulas dan kritik tentang rasa makanan. Semua yang ditulis itu hanya mengikut rasa lidah saya yang mungkin tak sama dengan rasa lidah orang lain. Tangan pun dah malas nak menaip, jadi kalau ada apa-apa pertanyaan, ketidakpuasan atau perkongsian bolehlah komen di bawah. Terima kasih kerna sudi baca sampai habis. Harap dapat membantu dan membahagiakan korang. Eh.
0 comments
Thanks kerana sudi meluangkan masa membaca blog ini.
Sebarang kata-kata boleh lontarkan di ruangan ini.
Moga-moga kita bisa berbalas komen